Tahap Pengetahuan Pelajar Teknikal Terhadap Konsep Hukum Hudud: Satu Kajian Di Politeknik

Authors

  • Musleha Mokter Author

Abstract

Isu pelaksanaan hukum hudud terus menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Perbincangan mengenainya bukan sahaja mencetuskan polemik dalam arena politik dan media, malah turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan generasi muda. Meskipun hudud merupakan sebahagian penting daripada sistem perundangan jenayah Islam, tahap kefahaman golongan pelajar khususnya dalam institusi teknikal seperti Politeknik Malaysia masih belum dikaji secara menyeluruh. Kajian ini bertujuan menilai tahap pengetahuan dan kefahaman pelajar terhadap konsep hukum hudud serta mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi persepsi mereka. Berdasarkan sorotan literatur, pelajar sering terdedah kepada maklumat yang tidak tepat melalui media sosial, kurang pendedahan formal dalam kurikulum pendidikan dan kekeliruan antara hukum hudud dengan bentuk hukuman lain seperti qisas dan ta’zir. Faktor pendidikan dan pengaruh persekitaran, faktor media dan teknologi, faktor pengaruh pendidikan agama serta faktor keterbukaan dan minat turut memberi kesan terhadap kefahaman pelajar. Kajian dijalankan menggunakan pendekatan kuantitatif dengan edaran soal selidik kepada pelajar semester dua yang telah mengikuti kursus Pengajian Islam dan Sains, Teknologi serta Kejuruteraan dalam Islam di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Soal selidik merangkumi dua komponen utama iaitu pengetahuan asas dan faktor-faktor yang mempengaruhi pengetahuan asas hudud. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pengetahuan pelajar berada pada tahap sederhana, dengan min keseluruhan 3.38. Ini menandakan wujud asas kefahaman, namun masih terdapat keperluan untuk penambahbaikan. Faktor-faktor seperti pendidikan agama dan pengaruh media pula mencatatkan min 3.11 dan 3.03, menunjukkan peranan yang sederhana tetapi tidak menyeluruh dalam membina pemahaman pelajar. Secara keseluruhannya, pendekatan pengajaran hukum hudud yang berpusatkan pelajar, berorientasikan aplikasi praktikal dan berteraskan teknologi berpotensi meningkatkan minat dan kefahaman pelajar politeknik terhadap konsep dan pelaksanaan hukum hudud secara menyeluruh. Hal ini amat signifikan dalam membentuk pelajar teknikal di politeknik yang bukan sahaja mahir dalam bidang kepakaran mereka tetapi juga memiliki kefahaman yang seimbang antara ilmu teknikal dan pemahaman terhadap sistem perundangan Islam.
Keywords: Hudud, Pelajar teknikal, faktor pengetahuan

Downloads

Download data is not yet available.

Downloads

Published

17.11.2025

How to Cite

Tahap Pengetahuan Pelajar Teknikal Terhadap Konsep Hukum Hudud: Satu Kajian Di Politeknik. (2025). Journal of STEM and Education, 5(1). https://journalstem.net/ojs/index.php/pkb/article/view/76